Audi S8 2020 – guna enjin 4.0L V8 571 PS, 800 Nm

Dua tahun selepas mendedahkan A8 D5, Audi kini memperkenalkan pula versi yang lebih sporty iaitu S8. Dalam gambar ini ia menggunakan warna Navarra Blue. Peningkatan utama yang menjadi perhatian pada model ini adalah prestasi dan teknologi.

Di bawah bonetnya terdapat enjin V8 TFSI 4.0 liter biturbo yang mampu menghasilkan 571 PS dan 800 Nm tork, tetapi masa pecutan 0-100 km/j model ini masih belum didedahkan. Laju maksimum pula dihadkan pada 250 km/j. Lapan silinder pada enjin ini menggunakan teknologi khas untuk mengurangkan geseran sementara pada sistem ekzos pula terdapat injap yang boleh dibuka secara sendiri untuk memberikan bunyi lebih garang.

Memandangkan semua model Audi A8 dipasang dengan teknologi hibrid ringkas (MHEV), begitu juga dengan S8 ini. Padanya terdapat belt alternator starter (BAS) 48 volt yang menerima kuasa daripada bateri lithium ion, dan membolehkan S8 meluncur atas lebuh raya dengan enjin tertutup. Menurut Audi lagi, sistem hibrid ringkas ini juga dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.8 liter bagi setiap 100 km.

Suspensi aktif boleh ramal diberikan standard pada S8 ini, dan ia dikatakan dapat “mengurangkan secara banyak” kecondongan kenderaan apabila membrek atau memecut secara kuat. Kamera yang menghadap ke depan membaca permukaan jalan, seterusnya mengarahkan perubahan suspensi. Suspensi aktif ini juga boleh naik dan turun sehingga 50 mm apabila pemegang pintu dibuka, menjadikan keadaan lebih mudah untuk pengguna masuk dan keluar.

Untuk keselesaan dalam kenderaan, mod Comfort+ baru dapat membantu badan kenderaan miring ke dalam selekoh sehingga tiga darjah untuk mengurangkan kesan daya lateral kepada penumpang. Dalam mod dinamik, sudut roll maksimum ketika selekoh laju adalah maksimum 2.5 darjah, berbanding lima darjah dengan suspensi biasa.

Turut diberi adalah dynamic all-wheel steering, yang membenarkan pelarasan sudut stereng untuk kedua-dua gandar pacuan. Untuk membantu memperlahankan roda bahagian dalam untuk mengurangkan oversteer, differential sport dapat membantu, manakala dalam situasi understeer, kuasa yang lebih akan disampaikan kepada roda sebelah luar.

Pelanggan yang mahukan lebih kuasa henti boleh mendapatkan cakera gentian karbon seramik, yang bersaiz 420 mm di hadapan dan 370 mm di belakang. Cakera ini juga mempunyai salur penyejukan, dan apabila digabungkan dengan angkup 10 piston mencatat berat kurang 9.6 kg berbanding cakera biasa.

Pada bahagian rekaan, S8 mendapat sentuhan biasa seperti muncung ekzos berkembar, kemasan aluminium satin pada bawah bampar, bukaan udara tepi dan pelindung cermin sisi, serta pilihan rim sehingga 21 inci. Warna pula ada sembilan pilihan dan boleh dipadankan dengan pakej kemasan hitam. Lampu utama LED HD Matrix dengan Audi Laser Light dan lampu belakang OLED juga ada ditawarkan.

Untuk bahagian dalam, S8 menggunakan tempat duduk Comfort secara standard dan disediakan dengan pilihan balutan kulit Valcona dan Unikat, berserta fungsi mengurut, lubang udara dan bahagian tepi yang boleh dilaras. Sistem bunyi kenderaan ini mempunyai fungsi penghalang bunyi aktif untuk menjadikan keadaan lebih selesa.

Bagi ciri keselamatan, secara keseluruhannya terdapat 38 sistem bantuan pemandu yang dibahagikan kepada pakej City dan Tour. Dalam pakej ini terdapat Adaptive Cruise Assist, Traffic Jam Assist, Lane Tracking, dan Predictive Efficiency Assist.

Kemudiannya dalam pakej City, ia ditambah lagi dengan Audi Pre Sense 360°, yang berkerjasama dengan suspensi aktif boleh ramal untuk meninggikan badan sehingga 80 mm. Ini sekaligus menjadikan bahagian kenderaan dapat menyerap lebih impak dan mengurangkan kesan perlanggaran.

Sistem bantuan pemandu ini diproses oleh komputer berprestasi tinggi yang dipanggil sebagai Central Driver Assistance Controller (zFAS). Ia memerhatikan keadaan sekeliling kenderaan berdasarkan data yang diberikan oleh lima pengesan radar, enam kamera, 12 pengesan ultrasound dan pengimbas laser. Kenderaan ini juga mempunyai kemampuan autonomous Level 3, sama seperti A8 biasa.

Source: Read Full Article