Honda baik pulih trak Chevrolet Apache 10 sempena ulang tahun ke-60 di Amerika Syarikat – tapi kenapa?

Tahun ini, Honda menyambut ulang tahun mereka yang ke-60 di Amerika Syarikat (AS). Bagi menjadikannya sesuatu yang istimewa, mereka menunjukkan trak Chevrolet Apache 10 yang telah dibaik pulih sendiri, bersama motosikal Honda 50 dan CB160 yang akan dibawa untuk tontonan umum di pameran SEMA.

Tapi kenapa Honda membuat keputusan untuk membaik pulih trak dari jenama lain ini? Sebenarnya, waktu baru dibuka di AS pada tahun 1959, American Honda Motor Co., Inc. (AHM) cuma menjual motosikal dan mereka mempunyai beberapa buah trak Chevrolet untuk menghantar motosikal kepada pengedar.

Memori bersama trak itu telah dijadikan sebagai kenangan melalui satu gambar ikonik yang diambil di hadapan ibu pejabat asal AHM di Pico Boulevard, Los Angeles. Mengambil penting tugas trak ini pada masa dulu, AHM telah mencari semula trak Chevrolet ini dan kemudian ia dibaik pulih dengan grafik yang sama seperti di dalam gambar.



Selain daripada trak itu, AHM turut menunjukkan dua buah motosikal yang juga telah dibaik pulih sepenuhnya dan diletakkan atas trak tersebut. Mengimbas kembali pada tahun 1965, Honda telah menjadi jenama motosikal yang mencatat jualan paling tinggi di Amerika Syarikat, dengan perkongsian pasaran sebanyak hampir 72 peratus.

Trak serta motosikal yang telah dibaik pulih oleh AHM ini akan dibawa ke pameran SEMA 2019 dan beberapa lagi acara di sekitar Amerika Syarikat, sebelum ia disimpan dalam Dewan Koleksi Honda Amerika di Torrance bersama pelbagai model bersejarah lain.

Source: Read Full Article