Lotus sahkan nama hypercar elektrik Type 130, Evija

Pengeluar kereta sport Britain, Lotus, telah mengesahkan model semua elektrik yang sebelum ini dikenali sebagai Type 130, bakal dinamakan Evija. Disebut ‘ev-eye-ya’, nama ini bermaksud ‘yang pertama wujud’ atau ‘yang hidup’, ujar Lotus.

“Evija adalah nama yang dianggap sempurna untuk kereta baharu ini kerana ia merupakan hypercar pertama dari Lotus, yang juga jentera elektrik pertama kami serta model baharu pertama di bawah seliaan Geely,” ujar CEO Lotus Phil Popham. Difahamkan Evija juga akan ditawarkan dengan unit terhad iaitu sebanyak 130 buah sahaja. Produksinya bakal dimulakan pada 2020, dan dibuat di kilang pemasangan di Methel, Norfolk.

Buat masa ini tiada perincian lengkap mengenai Evija didedahkan. Permintaan terhadap kereta semua-elektrik Lotus memang sedia utuh, dengan perhatian yang memberangsangkan sejak ia dipertontonkan di Shanghai International Auto Show pada awal April lalu.

Lotus Evija akan didedahkan sepenuhnya pada bulan ini di London, ujar Lotus. Sementara itu, pengunjung yang pergi ke Goodwood Festival of Speed tahun ini juga berpeluang melihat sendiri model baharu tersebut. Lotus bakal mengambil bahagian dalam acara tersebut tahun ini, malah akan mempertontonkan kehebatan Evora GT4 Concept, yang akan merentasi bukit Goodwood, dan bakal menyertai barisan model lain termasuk Elise, Exige, dan Evora.

Source: Read Full Article