MITI bentuk majlis penasihat baru untuk bincang NAP

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menubuhkan majlis perdagangan dan penasihat (TIAC) yang akan memainkan peranan penting dalam membentuk dasar-dasar, strategi dan perubahan lain yang berpotensi dilakukan terhadap perdagangan antarabangsa serta promosi pelaburan dan pembangunan industri oleh kementerian berkenaan.

Majlis berkenaan terdiri daripada 12 wakil daripada pelbagai organisasi seperti kementerian kewangan, Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional. Ini bagi membolehkan mereka memberi input dari sudut pandang dan kepakaran yang berbeza dalam membentuk sesebuah dasar, lapor Bernama.

Menurut Menteri MITI, Datuk Darell Leiking, majlis berkenaan akan membincangkan isu-isu berkaitan misalnya pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) serta dasar automotof Kebangsaan (NAP) di dalam mesyuarat akan datang. Mereka akan bertemu sekurang-kurangnya empat kali setahun untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata, mesyuarat berikutnya Ogos nanti, tumpuan akan diberikan kepada aspek perdagangan dan pelaburan dan juga NAP. “Dalam mesyuarat akan datang, kita akan bincangkan mengenai NAP serta kertas putih berkaitan industri besi dan sektor perkapalan,” tambah beliau.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan topik apa yang akan dibincangkan mengenai NAP. “Perlu tunggu hingga Ogos nanti,” jawabnya ketika ditanya tentang komitmen MITI untuk memberi perhatian terhadap potensi pelaburan dan insentif bagi kenderaan hibrid dan PHEV.

Untuk rekod, kemaskini terhadap NAP yang dilaporkan sedang dinilai semula Jun tahun lalu dijangka awalnya akan diumumkan pada suku pertama tahun ini. Bagaimanapun, April lalu, kementerian memaklumkan perkara berkenaan akan dianjak serta diumumkan pada suku kedua.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article