Mitsubishi Lancer Evolution XI mungkin akan dihasilkan, dijana enjin Renault Megane RS – laporan

Sebelum ini sudah dua kali Mitsubishi menyatakan bahawa model sedan segmen-C mereka, Lancer bersama versi berprestasi tinggi Lancer Evolution tidak akan disambung penghasilannya – semasa mereka bergerak secara sendiri, mahupun sesudah menyertai pakatan Renault-Nissan. Tiba-tiba, satu lagi khabar angin bertiup bahawa Lancer Evo akan dihidupkan kembali, dan bakal dijana enjin dari Renault Megane RS.

Perkara ini dilaporkan oleh portal Autocar, di mana mereka mengambil sumber laporan dari Jepun. Enjin Renault Megane RS yang dinyatakan tersebut bukanlah unit 1.8 liter turbo berkuasa 299/420 Nm yang digunakan sekarang, sebaliknya ia adalah enjin 2.0 liter turbo baharu yang akan dipadankan pada Megane RS generasi seterusnya.

Enjin berkenaan dikhabarkan akan digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik dari Mitsubishi, dan juga sistem pacuan semua roda S-AWC. Kuasa tambahan turut akan disuntik dari sistem hibrid ringkas 48-Volt, membolehkan Lancer Evolution tersebut menjana tenaga hampir dengan saingan terdekatnya yang kini masih lagi ‘hidup’ iaitu Subaru WRX STI S209 yang berkuasa 341/433 Nm.



Khabar angin tersebut turut menyebut bahawa Lancer Evolution ini akan ditawarkan dalam dua pilihan badan iaitu sedan empat-pintu dan juga hatchback lima-pintu. Laporan berkenaan juga menambah bahawa rancangan untuk menghidupkan kembali Evo ini dicetuskan oleh CEO Mitsubishi sendiri, Osamu Masuko, bagi mengembalikan jenama itu sebagai sebuah jenama yang dikaitkan dengan prestasi tinggi. Masuko yang kini berusia 70-tahun dijangka akan melepaskan jawatannya tidak lama lagi, tetapi akan terus memantau syarikat berkenaan sebagai Pengerusi.

Boleh percaya ke berita ini? Anda perlu ingat Mitsubishi sudahpun mendedahkan model konsep e-Evolution yang dikatakan mungkin akan membawa semula emblem Evo kepasaran. Tetapi ia bukanlah sebuah sedan turbo, sebaliknya dibina dalam bentuk SUV, dijana sepenuhnya oleh elektrik.

Apa pun, kita tunggu dahulu model asas Lancer generasi ke-9 yang sebelum ini telah dinyatakan berkemungkinan besar akan dihasilkan dari platform CMF-C/D F4 Pakatan Renault-Nissan. Setelah model produksi sedan segmen-C tersebut muncul, barulah ada harapan untuk kita lihat kelahiran semula Lancer Evolution ini.

Source: Read Full Article