Proton Iriz R5 – unit baharu homologasi penuh bakal buat penampilan di Goodwood Festival of Speed 2019

Tahun ini, Mellors Elliot Motorsport (MEM) sekali lagi akan ke Goodwood Festival of Speed dengan Proton Iriz R5, tetapi bukan dengan unit prototaip sebelum ini, sebaliknya sebuah kereta homologasi baharu sepenuhnya setelah proses ratifikasi oleh FIA lengkap tiga bulan lalu.

Kemunculan sulung jentera yang kini sah boleh bertanding sehingga ke peringkat Kejuaraan Rali Dunia (WRC) tersebut juga bakal menampilkan grafik badan perlumbaan baharu untuk pasukan MEM, dan ia bakal menyertai rali Goodwood Forest Stage pada festival yang berlangsung selama empat hari itu.

Menurut MEM, buat masa ini Proton Iriz R5 adalah satu-satunya jentera R5 yang lulus homologasi dalam versi pemanduan sebelah kiri dan juga pemanduan sebelah kanan.



“Tiada lagi tempat lain yang lebih baik untuk membawa Proton Iriz R5 selain Goodwood Festival of Speed dan mendedahkan hasil kerja kami kepada sebahagian peminat sukan bermotor dari seluruh dunia,” kata pengarah MEM, Chris Mellors.

“Ramai yang telah berminat dengan Iriz dan sekarang kami telah mempunyai Homologasi FIA, dan minat tersebut semakin meningkat kini. Kami telah menarik orang seperti juara Irish Tarmac Rally Eugene Donnelly yang telah memiliki sebuah dan ia penting untuk jenama dan pembangunan yang berterusan, namun kami sentiasa mahu mengembangkan asas pelanggan kami. Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan semua orang di Goodwood minggu hadapan,” kata Chris Mellors lagi.

Goodwood Festival of Speed akan berlangsung pada minggu hadapan, bermula pada 4 hingga 7 Julai 2019. Proton Iriz R5 yang dijana enjin 1.6 liter turbo bersama sistem pacuan semua roda ini telah melakukan kemunculan sulungnya di acara sama pada 2017, dan terus menjuarai Forest Stage Rally tahun berkenaan. Pada 2018, gelaran juara tersebut turus dipegang oleh Iriz R5.

Source: Read Full Article